Saturday, June 6, 2009

kesan perjanjian FTA


Pada 1hb Januari 1994, tiga buah negara iaitu Kanada, Amerika Syarikat ( AS ) bersama Mexico telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara ( NAFTA )

Di antara kandungan perjanjian ini termasuk penghapusan cukai terhadap barang-barangan AS ke Mexico dan juga penghapusan tariff secara berperingkat oleh Mexico selama 14 tahun. Namun kini, 12 tahun kemudian, ramai penduduk rakyat Mexico berasa kesal terhadap perjanjian perdagangan bebas yang jelas memihak kepada negara-negara seperjanjian ini yang jauh lebih maju.

Dalam Bab 11 perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) ini memberikan kuasa kepada '...seseorang individu ataupun syarikat korporat untuk menyaman kerajaan Mexico, Amerika Syarikat ataupun Kanada bagi menuntut pampasan ganti rugi.'

Salah satu contoh kes-kes saman seperti ini adalah seperti kes saman syarikat Methanex, sebuah syarikat penghasil bahan-bahan kimia dari Kanada, terhadap kerajaan Amerika Syarikat dengan tuntutan sebanyak $970 juta dollar AS ( RM 3.39 Billion ). Dalam kes ini syarikat Methanex mendakwa bahawa pengharaman negeri Kalifornia AS ke atas bahan MTBE, sebuah bahan kimia yang di temui di dalam perigi-perigi bekalan air negeri Kalifornia, telah merosakan eksport negara Kanada untuk bahan methanol. Saman syarikat Methanex akhirnya ditolak di mana Methanex akhirnya terpaksa membayar kos sebanyak $3 juta AS ( RM10.5 juta ) kepada kerajaan AS iaitu pampasan litigasi yang berlaku pada tarikh 9hb Ogos 2005.

Ramai pihak yang menganggap bahawa syarat kandungan Bab 11 perjanjian NAFTA ini dengan jelasnya memihak lebih kepada syarikat-syarikat korporat besar di AS dan Kanada berbanding dengan syarikat-syarikat di Mexico yang terlalu kecil dan tidak mampu secara kewangan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap negara-negara seperjanjian ini.

Insentif Kerajaan Mexico terhadap Pelaburan Asing.

Kerajaan Mexico mempunyai insentif yang di panggil projek 'mequila' bagi menarik para pelabur asing bagi tujuan perkilangan eksport. Di bawah program ini, sebuah syarikat yang di gelar 'mequiladora' yang di iktiraf oleh bahagian Setiusaha Pembangunan Perindustrian dan Komersil Mexico ( SECOFI ), pelabur asing boleh memiliki sebanyak 100% pegangan dalam syarikat ini ataupun dalam pelaburan dana secara terus. Syarikat-syarikat 'mequiladora' ini di berikan kebebasan daripada tariff serta cukai oleh kastam bagi kemasukan barang-barangan dengan mengenakan bon ke atas barang-barangan tersebut bagi memastikan kemasukan barang-barangan yang di bawa masuk ini hanyalah untuk di ekspot semula. Warga asing serta pelabur asing syarikat-syarikat program 'mequila' ini juga di benarkan membeli serta memilik tanah di kawasan-kawasan yang telah di tetapkan oleh pihak SECOFI.

Insentif projek 'mequila' kerajaan Mexico ini tidak begitu jauh bezanya dengan syarikat-syarikat yang mendapat taraf perintis di bawah Akta Penggalakan
Pelaburan Malaysia 1986 ataupun keistimewaaan yang di berikan kepada syarikat-syarikat atau pelaburan asing di bawah projek Koridor Multimedia Raya
( MSC ) di Malaysia.

Persaingan Antarabangsa.

Namun hanya setelah persetujuan perjanjian NAFTA, kerajaan Mexico telah sedar bahawa negaranya kekurangan tenaga kepakaran dan jumlah tenaga kerja yang berpendidikan sewajarnya bagi menarik minat kehendak para pelabur syarikat-syarikat AS serta Kanada. Walaupun Mexico telah mendapat keuntungan sedikit pada awal perjanjian NAFTA, namun keuntungan daripada pelaburan asing yang masuk hanya telah berpihak kepada golongan kelas menengah atasan dan yang kaya di Mexico yang berpendidikan dalam bahasa Inggeris. Pada masa yang sama perjanjian NAFTA telah menambahkan jurang kemiskinan di antara golongan rakyat yang berpendidikan rendah serta terpencil di kawasan-kawasan pedalaman.

Keadaan ini bertambah sukar bagi Mexico apabila pada September tahun 2001, negara Cina memasuki Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO). Mexico telah menghadapi persaingan hebat daripada segi jumlah serta kos tenaga buruh yang jauh lebih rendah yang di tawarkan oleh negara Cina dan juga daripada jumlah kos tenaga buruh serta kepakaran dalam industri perkhidmatan yang di tawarkan oleh negara India, di mana kedua-kedua negara ini memberikan saingan hebat untuk menarik minat para pelabur asing seluruh dunia.

Pendedahan Kepada Polisi Amerika Syarikat.

Ekonomi Mexico dan juga ekonomi negara-negara membangun serta ekonomi negara dunia ke-3 telah bertambah mudarat apabila pada bulan May tahun 2002, kongres Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden George W. Bush telah meluluskan 'Akta Pemeliharaan dan Pelaburan Kawasan Pedalaman Amerika Syarikat 2002'. Di bawah akta yang berkuatkuasa selama 10 tahun ini, Jabatan Agrikultur AS memperuntukan subsidi yang mewah sebanyak $200 Billion dollar AS ( RM700 Billion ) kepada para petani serta pengusaha ladang tempatan AS bagi penghasilan tanaman komoditi. Subsidi mewah kepada para petani dan pengusaha ladang AS ini telah memberikan tamparan hebat kepada nilai pasaran komiditi dunia.

Subsidi mewah ini telah menerima kritikan hebat daripada badan-badan di Amerika Syarikat sendiri seperti, Kesatuan Para Saintis Perihatin (Union of Concerned Scientist), Persatuan Penanam Jagung Negeri Iowa ( Iowa Corn Growers Association ) dan juga Oxfam Amerika.

Oxfam Amerika merupakan sebuah badan bertindak NGO di bawah Oxfam International yang mempunyai kerjasama dengan 100 buah negara dan mempunyai pejabat di 13 buah negara seperti di: Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, United Kingdom, Hong Kong, Ireland, Netherlands, New Zealand, Sepanyol dan juga Amerika Syarikat. Oxfam bertindak untuk membasmi kemiskinan, penindasan dan juga ketidak-adilan.

Ketiga-tiga badan ini mengulas bahawa subsidi terhadap bahan-bahan makanan ternakan tempatan AS membawa kepada produksi secara berlebihan yang merbahaya kepada para petani serta orang ramai. Mereka menjelasakan bahawa subsidi mewah ini menjatuhkan nilai-nilai pasaran dengan sekaligus menaikan nilai harga tanah. Ini kerana kebanyakan para petani serta pengusaha ladang AS tidak memiliki tanah mereka sendiri, dengan itu subsidi yang mereka terima di pajak nilaikan pada harga tanah yang mereka usahakan, oleh kerana ini ia tidak mendatangkan banyak faedah kepada para petani serta pengusaha ladang di AS sendiri pada jangkamasa yang panjang.

Kesan-kesan Polisi AS kepada Ekonomi Dunia.

Subsidi Beras Padi AS:

Pada 11hb April 2005, pihak Oxfam melaporkan bahawa Amerika Syarikat merupakan pengeksport beras ke-3 terbesar di dunia yang mengeksport beras sebanyak negara Vietnam.

Beras hasilan Amerika Syarikat mempunyai kos purata sebanyak $415 dollar AS ( RM1452.50 ) bagi penghasilan satu tan beras, namun kini sedang di jual di negara-negara membangun seperti Haiti, Ghana dan juga Honduras pada harga $274 dollar AS ( RM959 ) satu tan iaitu hanya satu pertiga daripada kos sebenar akibat subsidi mewah kerajaan Amerika Syarikat. Beras padi keluaran tempatan Malaysia pula mempunyai harga purata sebanyak RM2000 untuk satu tan di pasaran tempatan.

Kebanyakan negara-negara miskin di dunia terpaksa menurunkan kadar tarif yang telah melindungi para petani beras tempatan akibat tekanan oleh pihakBank Dunia ( World Bank ), pihak IMF dan juga perjanjian dua hala bersama Amerika Syarikat.

Negara Haiti merupakan antara negara termiskin di hemisphera barat di mana separuh daripada penduduk kanak-kanaknya mengalami kekurangan zat makanan. Pada tahun 1995 pihak IMF telah menggalakan kerajaan Haiti menurunkan tariff impot mereka daripada 35% kepada hanya 3%. Pemotongan ini telah melipat gandakan importnya di mana 95% berasnya kini di import dari Amerika Syarikat. Oleh kerana harga beras AS yang sangat murah akibat subsidinya, sebanyak 50 000 petani beras padi tempatan Haiti kehilangan kuasa pasaran tempatan mereka. AS kini melonggokan sebanyak 3.8 juta tan beras padi subsidinya ke pasaran dunia.

Subsidi Tanaman Kapas AS

Pada tahun 2001-2002 negara-negara di Afrika pula telah mengalami kerugian besar akibat subsidi kerajaan AS terhadap tanaman kapas mereka. Antara 3 buah negara Afrika paling teruk terjejas yang bergantungan tinggi pada hasil eksport tanaman kapas yang adalah:

- Burkina Faso: kehilangan 1% daripada Kadar Keluaran Dalam Negeri ( KKDN ) dan kehilangan sebangak 12% pendapatan eksportnya.

- Mali: kehilangan 1.7% daripada KKDN dan kehilangan sebanyak 8% pendapatan eksportnya

- Benin: kehilangan 1.4% KKDN dan kehilangan sebanyak 9% pendapatan eksportnya.

Pada 18hb June 2004, negara Brazil telah membuat aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia ( WTO ) terhadap Amerika Syarikat bahawa subsidi AS terhadap tanaman kapasnya menyalahi peundangan perjanjian perdagangan antarabangsa. Amerika Syarikat merupakan penghasil tanaman kapas kedua terbesar di dunia, namun diakibatkan oleh subsidi kerajaannya, AS menjadi pegeksport no. 1 dunia.

Sifat Berkepentingan Sehala dan Polisi Berat Sebelah Amerika Syarikat.

Dengan kesan akibat subsidi AS terhadap pasaran komoditi pertanian dunia, serta aduan daripada pelbagai pihak negara kepada WTO; sifat berkepentingan sehala AS dapat di lihat melalui laporan oleh Associate Press yang disiarkan dalam akhbar Boston Globe apabila Amerika Syarikat yang berkepintangan sendiri mencabar pihak WTO. Dalam laporan tersebut, Duta Perdagangan AS Robert Zoellick berkata kepada pihak media AS "...anda dijamin bahawa kami akan terus membuat rayuan." Zoellick terus berhujah bahawa melalui kaedah taktik rayuan oleh pihak AS"...ia boleh mengambil masa berbulan atau kemungkinan setahun ataupun juga bertahun-tahun. "

Manakala sifat polisi AS yang berat sebelah terhadap rakan seperjanjian perdagangan bebasnya sendiri dapat di lihat dalam laporan California Trade bertarikh 12hb Ogos 2005 apabila Duta Perdagangan AS: Rob Portman serta Setiusaha Komersil AS: Carlos Guiterrez di Washington mengecam negara Kanada apabila kerajaan negera Kanada memberikan subsidi sebanyak $1.28 Billion dollar AS ( RM 4.48 Billion ) kepada industri pembalakan serta perkayuan Kanada sendiri. Kedua-dua wakil AS itu bekata kepada pihak media bahawa "...industri tempatan Kanada merupakan penerima subsidi yang mewujudkan sebuah pasaran perdagangan yang tidak sekata yang juga menyakiti pasaran industri Amerika Syarikat."

Hanya setahun selepas aduan di buat oleh negara Brazil, pada Mac 2005, pihak WTO telah memutuskan bahawa subsidi tanaman kapas Amerika Syarikat menyalahi undang-undang persetujuan antarabangsa dan sekiranya AS tidak menghentikan subsidi kapasnya, negara Brazil mempunyai hak mengenakan sekatan perdangan terhadap Amerika Syarikat.

Kesan Serta Tindakan Terkini:

Pada 24hb Januari 2007, negara Australia, Kanada, Kesatuan Eropah ( EU ), Argentina dan juga Brazil sama-sama telah membuat aduan kepada pihak WTO mengenai Amerika Syarikat terhadap subsidi tanaman jagung mereka. Amerika Syarikat merupakan pengeksport tanaman jagung terbesar di dunia dan pada tahun 2006 sahaja telah mengeksport sebanyak 50juta tan jagung.

Menurut laporan pihak NGO: Carnegie Endowment of International Peace ( CEIP ) di Washington, negara Mexico telah kehilangan sebanyak 1.3 juta
pekerjaan di kalangan para petani kecil sejak tahun 1993.

Keperluan Persefahaman Saksama:

Jikalau dilihat secara teliti, antara syarat-syarat memeteraikan sebuah penjanjian, kedua-dua pihak mestilah mempunyai persefahaman dan kedudukan saksama dalam perihal yang di janjikan, sebarang kepentingan peribadi yang mungkin penyebabkan percanggahan atau pertelingkahan di masa-masa akan datang haruslah di ambil kira serta di ketengahkan. Pengenalan diri dari segi kekuatan serta kelemahan masing-masing atau 'musahabah diri' antara kedua-dua belah pihak, dan juga tatasusila serta etika dalam menunaikan isi kandungan setiap perjanjian juga harus di persetujui sama-sama. Sekadar menandatangai sesebuah perjanjian hanya kerana kedua-dua pihak mempunyai harapan yang sama tidak akan mencukupi. Ini kerana kedua-dua pihak mungkin mempunyai niat dasar tujuan yang berbeza.

a) Perbezaan daripada segi prinsip-prinsip nilai-nilai Budaya dalam Konstitusi Perlembagaan Amerika Syarikat dengan Malaysia.

Sekiranya di lihat secara kasar, sememangnya Amerika Syarikat dan Malaysia jauh berbeza. Dari segi Konstitusi Perlembagaan Persekutuan sahaja, Islam merupakan agama rasmi Malaysia, manakala konstitusi perlembagaan Amerika Syarikat pula termaktub bahawa 'kongress tidak akan menggubal sebarang perundangan yang mengiktiraf secara rasmi sebarang jenis agama...' Ini kerana perlembagaan persekutuan Amerika Syarikat adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang berteraskan kebebasan dan juga hak-hak saksama individu, manakala konstitusi Malaysia pula berteraskan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Namun nilai-nilai yang termaktub inilah yang mempengaruhi pengamalan sistem kapitalist sepenuhnya dan juga nilai-nilai sosial Amerika Syarikat manakala perlembagaan
Malaysia masih mengambil kira nilai-nilai kebudayaan, kepercayaan dan agama sesama kaum. Sekiranya sebarang jenis kemajuan serta persetujuan dengan mana-mana
pihak luar ingin dicapai bagi masa depan negara Malaysia, maka nilai-nilai ini haruslah di hormati dan di ambil kira dari setiap sudut terlebih dahulu.

Amendmen 2 di dalam konstitusi perlembagaan Amerika Syarikat pula termaktubnya 'hak untuk memiliki dan membawa senjata.' Malah kerana prinsip nilai-nilai inilah juga, negara Amerika Syarikat merupakan pembikin serta pengeksport senjata api dan peperangan yang terbesar di dunia. AS juga telah membekalkan bahan-bahan senjatanya di dalam konflik-konflik peperangan di antara negara di seluruh dunia. Oleh kerana nilai-nilai kebebasan ini juga rakyat Amerika Syarikat mempunyai hak untuk memiliki senjata secara peribadi. Kajian menunjukan bahawa 40% daripada rumah-rumah kediaman di Amerika Syarikat memiliki senjata api, namun di Amerika Syarikat, statistik oleh Jabatan Kesihatan AS menganggarkan bahawa pada setiap jam 4 orang di Amerika Syarikat mati akibat di tembak. Persoalannya, adakah perjanjian perdagangan bebas ini termasuk juga hak istimewa kepada Amerika Syarikat bagi pembekalan senjata api dan perang kepada Malaysia? Dan adakah ini akan menjejaskan perhubungan Malaysia bersama Russia yang juga merupakan pembekal senjata api dan perang kepada Malaysia, malah juga antara pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia?

b) Perihal Penjagaan Harta Intelek Malaysia?

Di dalam Artikel 1 Seksyen 8 konstitusi perlembagaan Amerika Syarikat pula mengenai harta intelek tertulisnya di mana kongress di beri kuasa 'Untuk menggalakan pembangunan dalam sains dan kesenian yang berguna, dan memberikan penjaminan hak eksklusif kepada para pengkarya dan pencipta dalam masa yang terhad, kepada penulisan dan juga penemuan mereka.' Malah, oleh kerana penekanan terhadap nilai pendidikan yang tinggi dan juga penjagaan harta intelek yang di berikan oleh kerajaan AS kepada para penyelidik dalam bidang-bidang kesenian, sains dan tekonologi merupakan antara sebab-sebab mengapa Amerika Syarikat dapat mencapai kemajuan yang di nikmati olehnya pada masa kini. Pada tahun 2003 perdagangan hak cipta harta intelek Amerika Syarikat menghasilkan sebanyak $33Billion Dollar AS (RM115 Billion) dari segi eksport manakala industri aero-angkasa yang menggunakan paten-paten dari Amerika Syarikat pada tahun 2004 mencatatkan kutipan sebanyak $32Billion Dollar AS ( RM 113 Billion ).

c) Tahap Malaysia Mengikuti Piawaian Persetujuan Antarabangsa masa kini.

Sekiranya di perbandingkan dengan Malaysia daripada perspektif global, di antara 20 perjanjian antarabangsa mengenai pemeliharaan dan penjagaan harta intelek seperti hak cipta, cap dagangan, lakaran industri dan juga hak paten di bawah Pertubuhan Harta Intelek Sedunia ( WIPO ), Malaysia hanya menandatangani 4 perjanjian sahaja. Antara perjanjian penting yang tidak di tangani termasuk perjanjian cap dagangan antarabangsa ( TLT ) bagi pendaftaran cap dagangan untuk sesebuah syarikat, barangan, persatuan ataupun perkhidmatan di peringkat antarabangsa. Perjanjian ini adalah penting bagi produk-produk jenama buatan Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia juga tidak memeteraikan Persetujuan Hak Cipta Antarabangsa ( WCT ) dan juga Persetujuan Fonogram & Persembahan WIPO ( WPPT ). Kedua-dua perjanjian antarabangsa ini di panggil 'persetujuan komunikasi elektronik' dan merupakan syarat-syarat minima bagi perdagangan 'e-commerce'. Persetujuan Nairobi, iaitu persetujuan antarabangsa bagi pemeliharan logo sukan Olympic juga antara salah satu perjanjian yang tidak di tandatangani oleh Malaysia. Negara-negara yang tidak menandatangani perjanjian ini tidak akan di pilih ataupun dicalonkan sebagai tuan rumah bagi Sukan Olympik. Malaysia juga tidak menandatangani Perjanjian Madrid ( Madrid Protocol ) yang merupakan persetujuan antarabangsa bagi tatatertib serta cara mengklasifikasi pendaftaran paten. Malah Malaysia juga tidak menandatangani Persetujuan Budapest ( Budapest Treaty ) yang merupakan perjanjian penting bagi tujuan paten perubatan dan teknologi bio. Diantara kelemahan bagi menjaga kepentingan Hak Cipta Industri Dagangan barangan buatan Malaysia dapat dilihat pada Akta Hak Cipta Malaysia 1987 yang hanya mempunyai 61 Seksyen di dalamnya sekiranya di perbandingkan dengan Akta Hak Cipta, Patent & Lakaran United Kingdom 1988 yang mempunyai 305 Seksyen di dalamnya.

Manakala menurut laporan yang diterima oleh pihak Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Bangsa-bangsa Bersatu ( UNESCO ), antara 36 perjanjian antarabangsa berkenaan dengan Kebudayaan, Kesenian, Pendidikan dan juga Sains...Malaysia hanya menandatangi 3 perjanjian sahaja. Ini tidak termasuk Perjanjian Pemeliharaan dan Promosi Ekspresi Kebudayaan yang bertujuan untuk memelihara Warisan Budaya, Hasil Kraftangan, Kesenian serta bahan-bahan yang berbudaya dari sesebuah kaum, masyarakat, individu ataupun negara. Ini adalah sesuatu yang merbahayakan kepada industri kraftangan dan perindustrian desa kecil di Malaysia kerana hasil barangan dan kesenian mereka boleh di ciplak ataupun di tiru di pasaran antarabangsa sekiranya tidak di daftarkan di bawah Perjanjian UNESCO ini.

Laporan daripada Kesatuan Harta Intelek Antarabangsa ( IIPA ) iaitu gabungan kesatuan-kesatuan dan perbadanan industri harta intelek Amerika Syarikat melaporkan bahawa negara Malaysia merupakan pengeksport nombor satu bagi cakera optik permainan video cetak rompak di dunia.

Sekiranya perjanjian FTA antara Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai syarat-syarat sama seperti perjanjian NAFTA, yang memberikan hak kepada pihak individu ataupun syarikat korporat untuk menyaman kerajaaan, sediakah Malaysia menghadapi saman oleh syarikat-syarikat seperti studio-studio perfileman dari Hollywood, syarikat-syarikat industri rakaman Amerika Syarikat, ataupun juga saman oleh sebuah syarikat gergasi seperti Microsoft? Mampukah kerajaan membayar pampasan ganti-rugi yang mungkin di pinta?


Kedudukan serta Risiko FTA bersama Amerika Syarikat kepada Industri tempatan Malaysia

Dari segi ekonomi sahaja sekiranya di perbandingkan, menurut laporan World Bank: Amerika Syarikat mempunyai Kadar Keluaran Dalam Negeri nomina ( KKDN ) sebanyak $12.4 Trillion dollar AS
( RM 43.3 Trillion ) manakala Malaysia pula mempunyai KKDN nomina sebanyak $250 Billion Dollar AS ( RM 875 Billion ), sebuah perbezaan yang jauh ketara sekiranya di perbandingkan Malaysia dengan sebuah negara seperti Jepun yang mempunyai siaz ukuran 377 835 kilometer persegi, di mana Malaysia mempunyai keluasan 329 750 kilometer persegi, namun negara Jepun -yang tidak banyak bahan mentah tempatan ataupun telaga minyak di perairannya dan mengimport 90% bekalan minyak mentahnya- mempunyai KKDN nomina sebanyak $ 4.5 Trillion dollar AS ( RM 15.7 Trillion ). Pada tahun 2008 parliment Jepun kini sedang menggubal akta bagi penggunaan minyak bio-diesel dan ethanol dan juga pelepasan cukai untuk penghasilan teknologi enjin dan tenaga bio yang dapat menguntungkan negara Malaysia dalam perkembangan industri teknologi bio sekiranya terdapat kerjasama. Mengapakah sebuah perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) tidak di buat bersama negara Jepun yang juga mempunyai pelaburan yang banyak di Malaysia?

a) Kedudukan Petronas Malaysia?.
Mengikut statistik Petronas Carigali, Petronas mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 630 000 tong minyak sehari. Minyak keluaran Petronas Malaysia adalah minyak yang berkualiti tinggi dengan kadar kandungan sulfur yang rendah serta pembakaran yang bersih dan kurang berjelaga. Minyak bermutu tinggi seperti ini adalah jenis minyak yang digunakan oleh Jabatan Tenaga, Jabatan Pertahanan dan juga pihak NASA di Amerika Syarikat bagi tujuan kajian tenaga. Jabatan Pertahanan AS -yang meliputi Tentera Udara, Tentera Laut dan juga Tentera Darat Amerika Syarikat- merupakan badan kerajaan pengguna minyak terbesar di dunia. Jabatan Pertahanan AS menggunakan sebanyak 395 000 tong minyak sehari, jumlah ini sama dengan kegunaan minyak sehari bagi seluruh negara Greece dan merupakan separuh daripada jumlah keluaran Petronas dalam sehari. Amerika Syarikat pengguna minyak terbesar di dunia, di mana 1/4 daripada hasil keluaran minyak dunia di gunakan oleh Amerika Syarikat. AS menggunakan sebanyak 20.5 juta tong minyak sehari, di mana 11.8 juta tong minyak sehari di import dari negara-negara luar. Adakah perjanjian FTA ini juga akan meliputi pembekalan minyak kepada Amerika Syarikat? Lazimnya perjanjian perdagangan bebas meliputi kelupusan atau pengecilan terhadap had-had kuota. Sekiranya perjanjian FTA ini merangkungi juga pembekalan minyak negara, ini sememangnya akan menguntungkan Petronas pada jangkamasa yang pendek, namun sekiranya jumlah bekalan yang di beli oleh AS tidak di kawal rapi, ini dapat melupuskan bekalan minyak mentah dalam telaga-telaga minyak di perairan Malaysia pada jangkamasa yang lebih cepat sekiranya keuntungan yang di perolehi kerajaan tidak di laburkan dengan bijak demi masa depan negara.

Pada 2hb May 2006, Korporasi Penyiaran Kanada ( CBC ) melaporkan bahawa sejak Januari 2002, mata wang dollar Kanada telah naik sebanyak 40% pada nilai dollar AS akibat krisis minyak sedunia dan pembelian minyak yang meningkat oleh Amerika Syarikat. Malah pada 19hb Januari 2007 laporan berita BBC baru-baru ini malaporkan bahawa kongress Amerika Syarikat -yang kini majoritinya terdiri dari ahli parti Demokrat- telah menolak pindaan President Bush mengsubsidikan minyak mentah. Penolakan subsidi ini di anggar mengakibatkan syarikat-syarikat minyak besar Amerika Syarikat seperti Exxon Mobil dan Chevron terpaksa menanggung kos sebanyak $14 Billion dollar AS ( RM49 Billion ) bagi tempoh 10 tahun akan datang. Dengan harga pertukaran matawang Kanada yang tinggi kini
dan juga penolakan subsidi oleh pihak kongress, Amerika Syarikat kini sedang mencari bekalan minyak alternatif, lebih-lebih lagi dengan rancangan President AS bagi menambahkan bilangan ketenteraanya di negara Iraq.

b ) Sektor Perkhidmatan Kewangan Malaysia?
Malaysia kini dalam proses pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9. Antara misi Malaysia kini adalah untuk menjadi sebuah Pusat Halal sedunia ataupun 'Halal Hub' yang selari dengan rancangan pembangunan Malaysia dalam teknologi bio. Piawaian produk-produk yang di isytiharaan 'Halal' di Malaysia, merupakan piawaian mutu tertinggi di dunia di antara negara-negara Islam. Ini
kerana ia bukan sahaja meliputi produk-produk makanan, tetapi ia juga merangkumi bahan-bahan kosmetik dan perubatan juga. Bagi produk-produk AS memasuki pasaran Malaysia, mendapatkan pengiktirafan ini oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) dapat mendatangkan keuntungan kepada pihak kerajaan Malaysia dan juga merupakan salah satu cara merlindungi para pengguna Islam di Malaysia.

Namun salah satu dari misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Halal ( Halal Hub ) sedunia juga termasuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan kewangan dan juga perbankan Islam dunia. Lazimnya perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) juga melingkungi penurunan sekatan terhadap syarikat-syarikat ataupun rakyat warganegara berseperjanjian untuk menawarkan perkhidmatan mereka di negara masing-masing. Adakah perjanjian FTA Malaysia ini juga merangkungi kebebasan menawarkan perkhidmatan kewangan juga?

Ini kerana sektor perkhidmatan bank dan kewangan tempatan, terutamanya sektor kewangan Islam di Malaysia masih sedang membangun, adakah bank-bank tempatan Malaysia bersedia bertanding secara terbuka dengan bank-bank gergasi Amerika Syarikat? JP Morgan Chase sahaja mempunyai asset bernilai sebanyak $983Billion dollar AS ( RM3.4 Trillion ), Bank of America pula mempunyai asset bernilai sebanyak $838 Billion dollar AS ( RM2.9 Trillion ) diikuti pula Citibank yang mempunyai asset bernilai sebanyak $695 Billion dollar AS ( RM 2.3 Trillion ). Ketiga-tiga bank gergasi Amerika Syarikat ini sekiranya di gabungkan, mempunyai asset bernilai sebanyak RM8.6 Trillion dan kertiga-tiga bank ini menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih maju daripada bank-bank tempatan Malaysia. Namun persoalan yang kini timbul ialah, apakah kesan penurunan sekatan terhadap perkhidmatan kewangan bank-bank Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia kepada pembangunan perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia?

Daripada sudut kemajuan perkhidmatan kewangan sahaja, contoh dapat dilihat seperti kejadian banjir yang melanda negeri Johor baru-baru ini yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.5Billion. Di Amerika Syarikat terdapat sejenis sekuriti khas yang di panggil Sekuriti Bencana Alam ataupun 'Cat-Bonds'. Bond-bond ini di keluarkan oleh syarikat-syarikat insurance yang memberikan insurance khas begi kejadian bencana alam seperti peting beliung, ribut taufan dan banjir seperti yang terjadi di Johor ataupun di Kuala Lumpur di masa-masa yang lepas. Sektor perkhidmatan kewangan Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi inovasi produk-produk perkhidmatan kewangan yang di tawarkan oleh negara-negara maju.

Pada masa kini, sekuriti-sekuriti kerajaan Malaysia lazimnya di jual dgn terhad pada syarikat-syarikat korporat besar dan juga bank-bank tempatan. Sekiranya perkhidmatan kewangan oleh bank-bank Amerika Syarikat di berikan kuasa yang lebih meluas, oleh kerana keupayaan mereka dari segi kedudukan kewangan setiap bank-bank Amerika Syarikat, sekiranya di kehendaki, mereka mampu membeli kesemua sekuriti seperti bil-bil dan juga bon-bon keluaran kerajaan Malaysia; sama ada secara pembelian terus ataupun di pasaran kedua dengan memberikan tawaran kepada mana-mana syarikat-syarikat tempatan yang memiliki sekuriti keluaran kerajaan ini. Sekiranya kaedah ini di lakukan, kerajaan Malaysia secara tidak langsung menjadi terhutang kepada Amerika Syarikat.

Selepas kejadian seranganan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia ( World Trade Center ) di New York pada 11hb September 2001, kongress Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Patriot AS 2001. Di bawah akta ini, syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan AS di wajibkan mengumpul serta berkongsi maklumat mengenai para pelanggan mereka dengan agensi-agensi kerajaan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat. Sebarang pemindahan kewangan yang melebihi $10 ribu dollar AS ( RM35 ribu ) akan di telitikan bagi mengenalpasti atau mengesyaki sebarang aktiviti pengganas. Pemindahan kewangan daripada negara-negara Timur Tengah, dan juga negara-negara Islam di berikan keutamaan untuk penelitian.

c) Sektor Pemborongan & Peruncitan?
Bagaimana pula kesan FTA dengan Amerika Syarikat kepada sektor Pemborongan & Peruncitan di Malaysia? Syarikat Wal-Mart merupakan syarikat gedung pasaraya pemborong dan peruncitan terbesar di dunia yang mempunyai sebanyak 3500 gedung pasaraya di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, selain daripada perniagaan pemborongan runcit, Wal-Mart juga menyediakan perkhidmatan kewangan seperti menjual wang post, perkhidmatan penghantaran wang secara elektronik, dan juga mentunaikan cek gaji bulanan. Malah pada tahun 2005, pihak Wal-Mart telah memohon kepada kerajaan negeri Utah di AS bagi menubuhkan Bank Perindustriannya yang tersendiri bagi menawarkan pinjaman kewangan serta akaun simpanan. Sektor pemborongan pasaraya runcit di Malaysia masih jauh ketinggalan daripada segi penawaran perkhidmatan- perkhidmatan seperti ini. Adakah gedung-gedung pasaraya tempatan Malaysia sedia bertanding dengan gergasi seperti Wal-Mart? Apakah kesan kemauskan gedung raya seperti ini kepada industri pemborangan runcit tempatan, lebih-lebih lagi kepada pasaraya-pasaraya dan juga kedai-kedai runcit yang kecil?

d) Kedudukan GLC Kerajaan yang lain?
Apakah pula faedahnya perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) di antara Malaysia bersama Amerika Syarikat kepada syarikat-syarikat besar seperti Golden Hope Plantations, Kumpulan Fima Bhd, IOI Corp Bhd dan juga GLC kerajaan seperti FELDA ataupun Tabung Haji yang masing-masing mempunyai mempunyai pelaburan besar dalam sektor pertanian, perladangan dan juga panamanan teroka?

Minyak sawit merupakan antara komoditi yang terpenting keluaran negara. Malaysia merupakan pengeluar serta pengeksport minyak sawit yang terbesar di dunia di mana 50% daripada minyak sawit dunia di keluarkan oleh Malaysia, di ikuti juga oleh Indonesia yang mengeluarkan sebanyak 30% minyak sawit dunia. Namun Amerika Syarikat ( AS ), Kesatuan Eropah ( EU ) dan kebanyakan negara-negara maju menggunakan lebih banyak minyak kacang soya dan minyak buah zaitun untuk kegunaan masakan harian daripada minyak sawit. Dengan kesedaran bagi penjagaan mutu alam sekitar dan juga untuk pengurangan pergantungan terhadap kegunaan minyak petrol bagi kenderaan dalam krisis minyak yang melanda seluruh dunia, kini lahirnya kesedaran terhadap kegunaan minyak bio-diesel dan juga ethanol sebagai bahan api kenderaan di peringkat antarabangsa.

Pada 11hb Oktober 2004 Kongres Amerika Syarikat telah menggubal Akta Mewujudkan Peluang Pekerjaan Amerika Syarikat 2004. Di bawah akta ini, kerajaan Amerika Syarikat memberikan potongan cukai sebanyak $1 dollar AS ( RM3.50 ) bagi setiap 3.7 liter minyak biodiesel yang di hasilkan daripada bahan agrikultur ataupun lemak haiwan, dan pemotongan cukai sebanyak 0.50sen dollar AS
( RM1.75 ) bagi setiap 3.7 liter minyak biodiesel yang di hasilkan oleh minyak yang dikitar semula. Adakah ini merupakan peluang yang baik untuk Malaysia mengeksport minyak sawit keluaran negara untuk kegunaan biodesel ke pasaran Amerika Syarikat?

Pada 17hb July 2005, Akhbar pagi harian daerah Des Moines: 'Des Moines Register' di negeri Iowa AS melaporkan bahawa: Pesatuan Penanam Kacang Soya ( ASA ) dan Badan Biodiesel National
( NBB ) di Amerika Syarikat telah bersatu untuk menuntut pihak Percukaian Hasil Dalam Negeri ( IRS ) Amerika Syarikat supaya tidak memasukan minyak sawit dalam insentif pemotongan cukai di bawah Akta Muwujudkan Peluang Pekerjaan Amerika Syarikat 2004. Ini kerana kedua pertubuhan ini bimbang mengenai minyak sawit cost rendah keluaran Malaysia dan juga Indonesia akan membanjiri pasaran tempatan AS. Mengikut badan gabungan pengeluar minyak sayur-sayuran Kesatuan Eropah ( EU ), minyak sawit dapat membekalkan sehingga 20% daripada keperluan biodiesel Kesatuan Eropah pada tahun 2010.

Malah antara benteng perdagangan utama yang akan di hadapi oleh barang-barangan serta perkhidmatan keluaran Malaysia adalah di sebabkan oleh piawaian tinggi oleh Amerika Syarikat dan juga negara-negara maju yang lain sebagai syarat menjual produk serta perkhidmatan Malaysia di negara mereka. Bagi mereka yang biasa dengan perdagangan antarabangsa akan mengetahui bahawa lazimnya di negara-negara maju akan mempunyai banyak kesatuan-kesatuan para pekerja serta persatuan-persatuan pekerja yang kuat dalam hampir setiap bidang pada sektor ekonominya yang bertujuan menjaga hak serta peluang pekerjaan di negara mereka.

Oleh kerana tahap pendidikan yang tinggi dan juga kesedaran sivik yang peka di negara-negara maju ini, negara-negara maju seperti AS juga mempunyai hak-hak perlindungan pengguna dan juga alam sekitar yang sangat tinggi, dan inilah merupakan benteng yang paling besar yang akan di hadapi oleh produk-produk keluaran Malaysia untuk pecah masuk ke pasaran-pasaran luar. Pada masa kini sahaja, masih banyak barang-barangan keluaran Malaysia seperti bahan-bahan makanan, pemprosesan, serta perubatan yang tidak melepasi piawaian oleh pihak Pentadbiran Pemakanan dan Perubatan Amerika Syarikat ( USFDA ). Piawaian ini juga telah bertambah ketat selepas kejadian September 11 bagi melindungi para pengguna Amerika Syarikat oleh serangan pengganas melalui kaedah senjata biologi. Mendapatkan kelulusan USFDA ini kadang-kadangkala bagi bahan atau produk keluaran AS sendiri juga boleh mengambil masa bertahun.

e) Nasib Perusahaan Automobil Nasional Malaysia ( Proton )?
Bagaimanapula dengan nasib pengeluar automotive nasional negara seperti Proton? Perdagangan Perjanjian Bebas ( FTA ) bertujuan bagi berdagang secara bebas dan saksama, ini termasuk penurunan atau penghapusan tariff dan cukai. Amerika Syarikat merupakan perintis dan juga pengeluar automotive no.1 yang terbesar di dunia, dan sudah tentunya mereka akan merundingkan kepentingan hasil dagangan eksport no.1 ini. Apakah kesan penurunan cukai serta tariff pada kereta-kereta keluaran Amerika Syarikat yang di import kepada industri automotive tempatan Malaysia? Bagaimana pula dengan cukai serta tariff pada kereta-kereta import yang lain seperti dari Jepun dan Eropah? Apakah pula nasib kepada 5000 para pekerja Proton?

Sehingga kini Proton masih belum berjaya memecahi pasaran Amerika Syarikat. Salah satu sebabnya ialah piawaian mutu yang tinggi yang dikenakan bagi kemasukan serta penjualan kerata oleh badan Pentadbiran Keselamatan Jalanraya Nasional Amerika Syarikat ( NHTSA ) bagi keselamatan pemandu dan juga pengguna jalan raya, ini di ikuti pula piawaian yang tinggi oleh Ajensi Penjagaan Alam Sekitar ( EPA ) di Amerika Syarikat bagi pemeliharaan daripada penggunaan-pengguna an bahan kimia toksik merbahaya pada cat kereta, dan juga pada jumlah keluaran asap serta pencermaran udara oleh enjin-enjin kenderaan. Sekiranya Proton dapat memecahi pasaran Amerika Syarikat yang bernilai $50 Billion dollar AS ( RM175Billion ) di Bandaraya Los Angeles sahaja, Proton sememangnya akan mendapat keuntungan yang lumayan seperti yang di alami oleh pengeluar-pengeluar kereta dan automotive dari negara Jepun dan Korea Selatan. Malah sekiranya Proton dapat melepasi piawaian mutu automotif di Amerika Syarikat yang juga merupakan piawaian automotif tertinggi dunia, Proton dapat menjualkan kereta-keretanya di mana-mana negara yang lain di seluruh dunia.

Namun pergantungan perdagangan sesebuah industri kepada pasaran besar yang tertumpu pada sesebuah negara juga ada keburukan sampingannya. Ini kerana pergantungan yang tinggi pada nilai pertukaran wang asing dengan negara tersebut. Contoh seperti ini dapat di lihat seperti pada syarikat pengeluar automotif Korea Selatan: KIA, yang pada tahun 2006, kadar keuntungan bersih mereka jatuh sebanyak 94% daripada hasil keuntungan bersih pada tahun yang sebelumnya akibat kenaikan nilai mata wang Won Korea Selatan pada nilai Dolllar AS. 3/4 daripada hasil pendapatan syarikat KIA bergantung tinggi kepada hasil jualan eksport di mana Amerika Syarikat melalui bahagiannya Kia Motors America merupakan pasaran terbesar mereka yang telah melaporkan peningkatan hasil jualan yang baik selama 13 tahun berturut-turut dan penjualan sebanyak 294, 302 unit kereta di pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2006 sahaja. Sebuah kereta KIA yang baru model Spectra dengan 'warranty' perjalanan sejauh 100 000 batu dijual di pasaran AS pada harga $13 000 Dollar AS ( RM45 000 ). Oleh kerana kualiti keretanya yang tinggi dan harga kereta yang murah, kereta-kereta keluaran Korea Selatan seperti KIA mendapat sambutan yang hebat di Amerika Syarikat dan kini di Eropah. Malah Pengarah Besar Pemasaran Kia Motors Corp: William Choi di Pertunjukan Automotive Geneva pada tahun 2006, telah berkata mengenai hasrat mereka untuk menggunakan kilang pemasangan baru syarikat NAZA di Gurun Kedah untuk tujuan eksport disebebkan oleh permintaan pasarannya yang besar dan semakin meningkat setiap tahun di seluruh dunia terutamanya di Amerika Syarikat.

f ) Pegangan Ekuiti dalam Syarikat-syarikat Korporat dan GLC tempatan?
Antara persoalan lain yang juga membimbangkan ialah permintaan oleh Amerika Syarikat berkenaan dengan memiliki ekuiti di dalam GLC kerajaan dan juga syarikat-syarikat tempatan. Namun antara perbezaan besar di Malaysia berbanding dengan negara-negara maju seperti AS, UK dan juga Kesatuan Eropah ( EU ) adalah, negara-negara ini mempunyai undang-undang berkenaan dengan persaingan perniagaan secara sihat atau 'Competition Law' atau juga di kenali sebagai 'Anti-trust Law' di Amerika Syarikat. Undang-undang ini melarang sesebuah syarikat memonopolikan pasaran tempatan ataupun luar negara. Malaysia tidak mempunyai undang-undang seperti ini. Isu syarat-syarat kerajaan mengenai syarikat status 'bumiputra' akan menjadi topik hebat dan panas, dan sekiranya Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) bersama Amerika Syarikat, Malaysia juga akan mendapat perhatian oleh Media Barat dan Amerika Syarikat yang menguasai pasaran Industri Media Dunia. Hanya salah satu sahaja daripada syarikat media gergasi Amerika Syarikat seperti Time Warner yang mempunyai kutipan tahunan sebanyak $43.7 Billion dollar AS ( RM152.95Billion ) mampu membeli beberapa buah syarikat media tempatan seperti Media Prima Bhd yang memperolehi kutipan sebanyak $114.28juta dollar AS ( RM399juta ) untuk meluaskan penyiaran serta pengedaran mereka. Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Kesatuan Eropah juga mempunyai perundangan Akta Kebebasan Maklumat di mana rakyat mereka mempunyai hak untuk meminta dan mendapat maklumat yang mereka pinta oleh pihak-pihak kerajaan mereka. Malaysia tidak mempunyai undang-undang seperti ini, dan 'transperancy' kerajaan Malaysia juga akan menjadi satu isu yang hebat biler berdepan dengan negara-negara yang jauh lebih maju. Namun adakah Kerajaan Malaysia sedia menjadi fokus tumpuan dan persoalan oleh pihak media Amerika Syarikat yang tersebar luas di seluruh dunia?

g) Perhubungan Perdagangan dengan negara-negara lain?
Antara soalan-soalan penting yang lain yang kini timbul ialah, apakah kesan sebuah perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) bersama Amerika Syarikat kepada perhubungan dagangan Malaysia dengan negara-negara lain seperti negara-negara OIC yang selama ini melihat Malaysia sebagai sesebuah negara Islam berdaulat yang harus di contohi? Bagaimana kesan perjanjian ini terhadap perhubungan perdagangan Malaysia dengan negara-negara yang lain seperti negara Jepun, Russia dan Cina? Apakah kesan jangkamasa panjangnya kepada ekonomi negara dan juga kebaikan rakyat seluruh Malaysia? Berapa banyakkah perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) Malaysia mempunyai dengan negara-negara yang lain? Malah, mengapakah perjanjian perdagangan bebas bersama negara Amerika Syarikat ini begitu di kejar sedangkan kebanyakan negara-negara lain di Amerika Selatan sendiri menolak perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat selepas nasib negara Mexico dalam perjanjian NAFTA?
Adakah hasrat Amerika Syarikat benar-benar untuk membantu Malaysia sebagai seseorang rakan perdagangannya ataupun memihak lebih kepada membantu ekonomi negara mereka sendiri? Ini kerana sekiranya di lihat pada maklumat yang ada kini dan banyak terdapat di luar, nilai matawang Amerika Syarikat kini telah lemah sekiranya di perbandingkan dengan matawang Euro dan juga kenaikan nilai matawang dari negara-negara lain seperti Kanada, Won Korea Selatan dan juga Yen Jepun. Sebuah perjanjian perdagangan bebas sekiranya memberat sebelah kepada hanya satu pihak seperti Amerika Syarikat merupakan antara cara terbaik bagi mengukuhkan sedikit nilai matawangnya dengan kemasukan pelaburan yang banyak dan dengan pelepasan cukai daripada hasil keuntungan yang di buat di sesebuah negara di hantarkan kembali ke negara asal dengan membeli kembali mata wang dollar AS.

Malah mengapakah juga pihak Menteri Perdagangan Antarabangsa: Yg. Berhormat Datuk Seri Rafidah Aziz tidak mengemukakan atau berkongsi maklumat mengenai perbincangan yang sedang berlaku bersama Amerika Syarikat bersama dengan Biro Ekonomi UMNO ataupun Unit Perancangan Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri? Perihal-perihal seperti ini yang melibatkan risiko terhadap ekonomi negara dan juga masa depan rakyat tidak seharusnya di biarkan di dalam tangan seseorang menteri sahaja tetapi mestilah di kongsi bersama pihak Parlimen dan juga di ketengahkan kepada Dewan Rakyat. Perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas ( FTA ) antara Malaysia dengan pihak Amerika Syarikat kini telahpun masuk pusingan ke-5.

Iktibar Sejarah.
Sekiranya kita mengimbas kembali, sejarah telah menunjukan bahawa negara kita telah menjadi mangsa penjajahan oleh pihak-pihak negara asing yang sedang mencari bahan-bahan mentah dan setiap warga penjajah masing-masing sedang mengalami pertumbuhan ekonomi dan juga revolusi industrinya tersendiri. Pihak penjajah yang telah datang dan pergi mengambil kesempatan dengan kemajuan dan juga kekuatan yang mereka punyai atas kemunduran dan juga kekurangan ilmu pengetahuan pemimpin dan juga rakyat tempatan untuk memenuhi kepentingan peribadi mereka sendiri. Peperangan sivil yang berlaku di Tanah Melayu antara pemimpin rakyat pada masa itu, dan juga kekurangan kebijaksanaan telah merupakan punca utama Tanah Melayu telah jatuh pada kuasa-kuasa pendatang asing. Ini kerana sekiranya melihat pada negara-negara seperti Thailand dan juga Jepun, mereka juga telah di datangi oleh pihak-pihak para penjajah dan juga di paksa membuka pintu mereka untuk berdagang namun oleh kerana kebijaksanaan yang telah di tunjukan oleh para-pemimpin mereka, Thailand dan juga Jepun telah berjaya mengekalkan kedaulatan dan juga kewibawaan negara mereka, malah telah mengambil kesempatan untuk belajar dari pihak pendatang asing bagi mencapai kemajuan tanpa di jajah. Bak kata pepatah dalam Inggeris: 'Mereka yang tidak belajar dari kesilapan ( sejarah ), bakal mengulanginya. ' Diharapkan bahawa kita sama-sama dapat mengambil iktibar dari sejarah dan juga negara-negara lain supaya menjadi lebih peka serta berwaspada.

Pada tahun ini, Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 Kemerdekaan negara kita setelah 496 tahun di jajah berulang-kali, di harapkan kedaulatan dan juga ekonomi Malaysia akan terus kekal Merdeka.

dicebok dari melayubestari.blogspot

No comments: